KPN hargai anggota, pegawai bertugas di Aidilfitri

SHAH ALAM – Anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas semasa perayaan Aidilfitri merupakan barisan hadapan dalam memastikan keselamatan serta keamanan negara, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Menurutnya, komitmen dan dedikasi petugas, terutama yang menjaga sempadan dan kawalan trafik, amat dihargai kerana memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Saya amat memahami bahawa tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh anda semua bukanlah mudah, lebih-lebih lagi ketika masyarakat bergembira menyambut lebaran bersama keluarga tersayang.
“Anda adalah barisan hadapan yang menjadi benteng kepada keselamatan dan keamanan tanah air,” katanya pada Isnin.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas PDRM atas pengorbanan mereka yang terpaksa berjauhan dengan keluarga demi menjalankan amanah.
“Saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa serta pengorbanan anda semua. Walaupun berjauhan daripada keluarga, ketahuilah bahawa sumbangan dan usaha anda tidak akan pernah dilupakan.
“Semoga ALLAH SWT sentiasa melindungi anda dalam menjalankan tugas dan memberikan kekuatan serta ketabahan kepada anda semua. Kepada keluarga anggota yang berjauhan, saya juga mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan dan pengorbanan mereka,” katanya.
Razarudin turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga PDRM serta umat Islam di negara ini.
“Saya mendoakan agar kita semua dikurniakan kesihatan dan keselamatan dalam menjalankan amanah ini. Semoga Syawal ini membawa keberkatan dan kegembiraan kepada kita semua, walaupun dalam keterbatasan tugas,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
