Menteri-Menteri Luar ASEAN setuju gerak bantuan mangsa gempa di Thailand, Myanmar

SHAH ALAM - Menteri-Menteri Luar ASEAN bersetuju untuk terus menggerakkan bantuan kemanusiaan bagi membantu mangsa gempa bumi di Thailand dan Myanmar.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Tergempar Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dipengerusikan Datuk Seri Mohamad Hasan yang berlangsung secara persidangan video pada Ahad.
Menurutnya, bantuan kemanusiaan itu akan diselaraskan oleh Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre) dengan makluman berkala daripada Setiausaha Agung ASEAN.
"Mesyuarat ini mencerminkan semangat kesatuan dan solidariti ASEAN. Menteri-Menteri Luar ASEAN merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada negara Myanmar dan Thailand, khususnya kepada para mangsa, keluarga mereka serta semua yang terjejas akibat tragedi tersebut.
"Menteri-Menteri Luar ASEAN turut bersetuju bahawa tragedi ini memperlihatkan keperluan mendesak bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan ketahanan bencana di peringkat serantau.
"Sehubungan itu, kami mengulangi komitmen untuk memperkukuh mekanisme tindak balas bencana ASEAN," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, gempa bumi dengan magnitud 7.7 melanda Myanmar pada Jumaat, dengan Mandalay, Bago, Magway, timur laut negeri Shan, Sagaing dan Naypyidaw antara kawasan yang paling teruk terjejas selain turut menjejaskan negara jiran Thailand.
Sehingga Sabtu, jumlah korban bencana itu di Myanmar mencecah hampir 2,000 orang selain ribuan cedera dan ratusan lagi masih hilang.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihaknya turut merakamkan ucapan takziah yang mendalam dan mengulangi komitmen bersama ASEAN untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan segera kepada kedua-dua negara yang terjejas.
"Dalam mesyuarat ini juga, Malaysia menggesa semua pihak agar menghentikan segala bentuk permusuhan dan keganasan bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan selamat.
"Malaysia juga akan terus bekerjasama rapat dengan negara-negara anggota ASEAN serta rakan-rakan serantau dan antarabangsa untuk menyalurkan sokongan yang menyeluruh kepada Myanmar dan Thailand, selaras dengan keutamaan yang dikenal pasti oleh kedua-dua negara," katanya.
Tambahnya, tragedi berkenaan bukan sahaja detik duka bersama tetapi juga detik tekad bersama.
ASEAN menurutnya, kekal bersatu dan Malaysia menegaskan komitmen teguhnya terhadap solidariti, kerjasama serantau dan usaha kemanusiaan dalam menghadapi dugaan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

