Gigih bekerja waktu Maghrib, 'rider' dipelawa berbuka puasa bersama

Tangkap layar daripada video TikTok @dayahdimana2 memaparkan 'rider' J&T Express dipelawa berbuka bersama keluarga Nur Hidayah.
Tangkap layar daripada video TikTok @dayahdimana2 memaparkan 'rider' J&T Express dipelawa berbuka bersama keluarga Nur Hidayah.
A
A
A

SHAH ALAM – Inisiatif seorang suri rumah mengajak penghantar bungkusan berbuka puasa bersama keluarganya tular di media sosial selepas dia tersentuh hati melihat lelaki itu masih bertugas ketika azan Maghrib berkumandang.

Nur Hidayah Hassan, 39, berkata, kejadian itu berlaku di rumahnya di Muar ketika dia bersama keluarga sedang menikmati juadah berbuka puasa.

"Pada waktu itu saya melihat seorang penghantar dari syarikat J&T Express meletakkan bungkusan di meja belakang berhampiran dapur.

"Ketika itu, saya baru menyuap nasi dan ternampak dia sibuk merakam gambar bungkusan.

“Melihat lelaki sekitar umur 20-an itu masih bekerja ketika waktu berbuka, saya dan keluarga tidak sampai hati lalu mengajaknya makan sekali," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Nur Hidayah Hassan
Nur Hidayah Hassan

Menurut Nur Hidayah, lelaki berkenaan pada mulanya menolak pelawaan kerana segan dan masih mempunyai banyak bungkusan untuk dihantar.

Namun selepas dipujuk oleh bapa mentuanya, penghantar bungkusan itu akhirnya bersetuju untuk masuk ke rumah dan berbuka bersama.

"Biasanya dia menghantar bungkusan pada waktu petang.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, disebabkan peningkatan pesanan pada musim perayaan, dia mungkin terpaksa bekerja lebih masa.

“Saya rasa memang rezekinya dapat makan sekali kerana datang tepat pada waktu berbuka," ujarnya.

Nur Hidayah berkata, dia rasa berpuas hati kerana dapat berkongsi rezeki bersama.

"Saya memang tersentuh tengok dia masih bertugas waktu Maghrib.

"Lepas dapat bagi orang makan, saya rasa sangat gembira dan berpuas hati," katanya.

Tambahnya, dia tidak menyangka video yang dirakam secara spontan itu akan menjadi tular sehingga mendapat hampir satu juta tontonan di TikTok.

"Saya hanya merakam secara senyap-senyap ketika semua sedang makan dan memuat naik di TikTok serta Facebook. Tak sangka ia tular serta mendapat perhatian ramai," katanya.

Nur Hidayah juga terharu membaca komen-komen positif warganet yang memuji serta mendoakan kebaikannya selepas menonton video tersebut.

"Ramai yang mengucapkan terima kasih. Saya bersyukur dan berharap kita semua terus menjadi orang yang baik.

“Ada juga yang mempersoalkan tindakan saya membawa orang asing masuk ke rumah. Saya tidak takut kerana ramai keluarga di sini dan paling penting niat kena betul,” jelasnya.

Tambahnya, kejadian itu mengajarnya tentang pentingnya keprihatinan dan kebaikan sesama manusia tanpa mengira latar belakang atau pekerjaan seseorang.

"Saya percaya bahawa sekecil mana pun kebaikan yang kita lakukan, ia tetap memberi makna. Kita buat baik, ALLAH sayang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!