PM teruja terima kad raya kreatif, balas ucapan pelajar sekolah

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim teruja menerima pelbagai kad raya kreatif hasil coretan pelajar dan guru dari Sekolah Kebangsaan Desa Bakti (Pendidikan Khas) di Mentakab, Pahang sempena sambutan perayaan Aidilfitri tahun ini.
Menerusi satu video berdurasi 2 minit 8 saat dimuat naik di media sosialnya, Anwar berkongsi kegembiraan menerima pelbagai kad raya hasil tangan yang dibuat sendiri oleh pelajar di sekolah tersebut.
"Pelita indah lagi berseri, menjadi hiasan di Aidilfitri. Ucapan dikirim pengganti diri, tanda ingatan untuk YB. Terima kasih,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook pada Sabtu.
Antara mesej yang mencuit hati adalah daripada seorang pelajar bernama Mohd Riduan Omar Mohd Nazarudin yang meminta Perdana Menteri menandatangani kad rayanya.
“Saya teringin nak tandatangan (Anwar). Baiklah, saya menjawab tandatangan itu," kata beliau.
Anwar turut mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pelajar yang mengirimkan kad sebagai tanda penghargaan serta memohon maaf sekiranya tidak dapat membalas semua kiriman tersebut.
"Saya mohon maaf jika tidak dapat membalas semua kiriman namun saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua anak-anak yang begitu baik budi," katanya.
Selepas membaca setiap kiriman, Anwar menzahirkan penghargaan sebelum menandatangani kad raya khas daripada dirinya sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
