Pemandu tersepit, Myvi bertembung Wira

Keadaan Perodua Myvi dan Proton Wira yang remuk di bahagian hadapan selepas terlibat kemalangan di Jalan Tok Bok, Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, pagi Sabtu. Foto bomba
Keadaan Perodua Myvi dan Proton Wira yang remuk di bahagian hadapan selepas terlibat kemalangan di Jalan Tok Bok, Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, pagi Sabtu. Foto bomba
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang lelaki tersepit selepas kereta jenis Perodua Myvi dipandunya bertembung sebuah Proton Wira di Jalan Tok Bok, Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, pagi Sabtu.

Mangsa Muhamad Hanif Muhamad, 28, tersepit di tempat duduk, manakala pemandu Proton Wira, Juhairy Kamarudin, 40, mengalami cedera ringan.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Hasmeejohn Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8 pagi sebelum jentera dengan lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dan Proton Wira yang bertembung di bahagian hadapan.

“Pemandu Perodua Myvi, Muhamad Hanif tersepit di dalam kenderaannya, manakala pemandu Proton Wira, Juhairy hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, pasukan bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.

“Kami turut membantu mengalihkan kenderaan terlibat dan membersihkan jalan bagi memastikan keselamatan pengguna lain,” katanya.

Mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!