Rumah berharga kurang RM300,000 untuk golongan M40 diperkenal

Dzulkefly (empat, kiri) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Penyampaian Amanat 2019 bersama kira-kira 400 warga kerja Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar dengan slogan Satu Keluarga Satu Kediaman.
Dzulkefly (empat, kiri) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Penyampaian Amanat 2019 bersama kira-kira 400 warga kerja Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar dengan slogan Satu Keluarga Satu Kediaman.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri bakal memperkenalkan Rumah Mampu Biaya (RMB) D berharga RM250,000 dan RM300,000 mengikut Zon yang berkeluasan 1,400 kaki persegi melibatkan pembinaan jenis strata dan bertanah dalam masa terdekat.

Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, kewujudan kategori itu yang mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) adalah untuk golongan sederhana (M40).

“RMB D adalah kategori baharu khas untuk M40 yang berpendapatan isi rumah antara RM8,000 hingga RM10,000. Rumah jenis ini kalau di Zon A iaitu meliputi kawasan Johor Bahru dan Kulai dengan harganya RM300,000.

“Tetapi jika di Zon B meliputi Batu Pahat, Muar, Segamat dan Kluang adalah berharga RM250,000. Bagaimanapun di Zon C meliputi Tangkak, Pontian, Mersing dan Kota Tinggi tidak ditawarkan kategori ini berikutan harga yang ditawarkan mungkin sama atau lebih tinggi dari harga pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Amanat 2019 bersama kira-kira 400 warga kerja Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata, RMB D dibenarkan dibina secara berstara di Zon A di flagship A sahaja yang melibatkan kawasan di bandar raya Johor Bahru hingga ke Pulai, manakala di kawasan lain akan dibina perumahan jenis bertanah.

“Bagaimanapun, komposisi pembinaannya masih dikekalkan iaitu 10 peratus daripada 40 peratus. Ini bermakna kalau Zon A kita memiliki empat harga iaitu RM42,000; RM80,000; RM150,000 dan RM300,000.

“Untuk Zon B pula meliputi RM42,000; RM80,000; RM150,000 dan RM250,000. Manakala, jika di Zon C hanya ada harga RM42,000; RM80,000 dan RM150,000. Penetapan zon ini berdasarkan tiga faktor iaitu pendapatan isi rumah setiap daerah, proses urbanisasi atau perbandaran serta senarai nama menunggu mengikut laman web e-rumah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kini terdapat kira-kira 85,000 dalam senarai nama menunggu dan majoritinya membabitkan 70 peratus pemohon dari Zon A.

“Ini bermakna permintaan selebihnya 30 peratus datang dari daerah lain dan permintaan tinggi melibatkan pemohon dari Zon A iaitu Johor Bahru dan Kulai ,” katanya.