Pekerja kilang maut dalam perjalanan pulang beraya

KUALA BERANG - Seorang pekerja kilang maut ketika dalam perjalanan pulang ke kampung di Kelantan untuk menyambut Aidilfitri selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 395.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa, Zulfareeza Zulkifli, 24, berasal dari Kampung Chasi To'Uban, Pasir Mas menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR secara sendirian dari Johor Bahru.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan pada 11 pagi dan siasatan mendapati ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang lelaki itu hilang kawalan lalu terbabas.
"Mangsa dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu tetapi meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai berhati-hati dan mendapatkan rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!