'Lencana Jalur Gemilang diberi percuma, lekat sahajalah' - PM

SHAH ALAM - Pemberian lencana Jalur Gemilang kepada pelajar sekolah tidak sepatutnya dijadikan polemik berpanjangan oleh mana-mana pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan sedemikian sudah diamalkan di kebanyakan negara dan kemudiannya dicadangkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) namun ia tertangguh sekian lama.
Justeru, beliau bersama Jemaah Menteri akhirnya memutuskan agar cadangan tersebut dilaksanakan segera.
"Lencana bendera Jalur Gemilang diberi percuma, lekat sajalah (dalam nada seloroh)... Banyak negara jiran dah buat lama dah, kita bincang sana bincang sini, buat sajalah...
"Ini supaya anak-anak dididik daripada awal untuk kasih dan cinta kepada negara, itu sahaja. Hal ini pun nak dijadikan polemik panjang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Jalan Raja Uda, di sini.
Sebelum ini, KPM dilapor mempertahankan keputusan mewajibkan pemakaian lencana Jalur Gemilang kepada semua pelajar sekolah mulai 21 April depan.
Kementerian itu juga menegaskan, langkah tersebut bertujuan memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Jelas KPM lagi, semua pelajar akan dibekalkan dua unit lencana Jalur Gemilang secara percuma pada sesi persekolahan 2025/2026.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut menitipkan ucapan selamat buat golongan perantau yang mulai pulang ke halaman masing-masing bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Tambahnya, rakyat juga dinasihatkan supaya berwaspada ketika memandu memandangkan jumlah kemalangan kenderaan menjelang perayaan meningkat terlalu tinggi saban tahun.
"Ambil semua langkah keselamatan yang perlu dan kita minta pemandu untuk berhati-hati dan berwaspada ketika memandu.
"Kemalangan memang kita perlu elakkan, jadi ini pesan saya kepada semua kerana kita balik kampung nak menjalinkan silaturrahim.
"Tetapi, kalau ada kemalangan berlaku, bukan sahaja keluarga susah hati, sanak-saudara juga," ujar Anwar lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!