Rancang perjalanan, elak 'sangkut' di jalan raya

SHAH ALAM - Pengguna jalan raya diingatkan agar merancang perjalanan pulang ke kampung atau mana-mana destinasi lain menjelang perayaan ini agar tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, persediaan lain yang perlu diberi keutamaan termasuk melakukan penyelenggaraan kenderaan terlebih dahulu bagi memastikan perjalanan yang selamat dan lancar.
“Saya menyeru kepada semua pemandu untuk merancang perjalanan masing-masing termasuklah menyelenggara kenderaan.
“Pastikan kenderaan dalam keadaan baik dan paling penting dapatkan rehat yang mencukupi sebelum memandu.
“Patuhi arahan lalu lintas dan elakkan pemanduan secara terburu-buru,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri hari terakhir Iftar Ala Madinah @Karangkraf bagi tahun ini.
Sementara itu, mengulas mengenai kehadiran beliau dan beberapa pegawai lain dalam acara tahunan anjuran Kumpulan Karangkraf itu, Azrin berkata, ia bertujuan untuk berkongsi maklumat dan panduan perjalanan kepada pengunjung yang hadir sebelum mereka pulang ke kampung sempena cuti perayaan.
“Walaupun kali pertama hadir dan ini merupakan hari terakhir saya lihat ramai juga yang datang untuk bersama-sama berbuka puasa di sini.
“Ini satu inisiatif yang bagus dalam meringankan beban mereka tidak mampu membeli juadah berbuka puasa selain dapat merapatkan lagi hubungan antara masyarakat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

