Bapa dua kanak-kanak cedera akibat mercun bola disiasat polis

Fiso (tengah) pada sidang akhbar pada Khamis.
Fiso (tengah) pada sidang akhbar pada Khamis.
A
A
A

JITRA - Bapa kepada dua beradik yang cedera akibat bermain mercun bola di kawasan rumah mereka di Kampung Baru, Kuala Nerang pada 19 Mac lalu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tragis yang berlaku.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada Isnin lalu untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama.

Menurutnya, polis kini sedang melengkapkan siasatan dan akan merujuk hasil siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan selanjutnya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kubang Pasu daripada Asisten Komisioner Mohd Redzuan Salleh kepada Superitendan Mohd Radzi Abdul Rahim yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini.

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian yang berlaku di Kampung Baru itu mengakibatkan Muhammad Zharif Daniel Norsyuwari Hariz, 7, melecur teruk dengan kecederaan serius di tangan, apabila semua jarinya hingga pergelangan tangan kiri hancur serta bawah pipi kanan terkoyak.

Adiknya, Muhammad Aiman Naufal, 4, pula melecur di bahagian badan akibat letupan mercun bola.

Artikel Berkaitan:

Fisol turut mengingatkan bahawa penggunaan dan penyimpanan bahan letupan seperti mercun adalah perkara yang serius serta melanggar undang-undang.

"Kami berharap agar kejadian ini menjadi peringatan kepada semua pihak agar tidak berlaku dalam tempoh beberapa hari menjelang Aidilfitri," ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau menggesa pengguna jalan raya sempena cuti panjang Aidilfitri agar mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan berlakunya kemalangan maut.

Menurutnya, statistik terkini menunjukkan penurunan jumlah kemalangan kepada 6,174 kes dari 1 Januari hingga 25 Mac, iaitu pengurangan sebanyak 343 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Tambahnya, polis Kedah berharap momentum positif ini dapat diteruskan sepanjang musim perayaan dalam menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!