Bapa calon pemain naturalisasi peluk Islam

DENNIS Jonathans, bapa kepada calon pemain naturalisasi Indonesia, Miliano Jonathans, memeluk Islam di Jakarta.
Proses pengislamannya disaksikan wakil Kementerian Pemuda dan Olahraga (Kemenpora).
"Alhamdulillah. Di bulan terbaik Ramadan penuh kebaikan, kita menyambut saudara baru dalam Islam: Bapak Dennis Jonathans," tulis Tenaga Ahli Menpora Bidang Kepemudaan dan Diaspora, Hamdan Hamedan di akaun Instagram peribadinya.
"10 hari terakhir Ramadan menjadi saksi hidayah sentiasa datang tepat pada waktunya, tidak lebih awal, tidak lebih lambat. Ia selalu menyapa hati yang ikhlas dengan cara-Nya yang paling indah dan misteri," tambah Hamdan.
Dennis secara rasmi memeluk Islam selepas melafazkan dua kalimah syahadah di International Muallaf Center, Masjid Agung Sunda Kelapa pada Rabu.
Selain Hamdan, proses pengislaman Dennis turut disaksikan Fardy Bachdim, bekas pemain naturalisasi skuad Garuda dari Belanda.
Sementara itu, anak Dennis, Miliano Jonathans kini menjadi topik hangat sebagai calon pemain naturalisasi Indonesia.

Miliano kini bermain untuk kelab divisyen dua Belanda, Jong Utrecht dan beraksi di posisi tengah.
Namun, berita mengenai naturalisasinya masih belum diketahui jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia, Patrick Kluivert.
Dalam satu wawancara beberapa hari lalu, Kluivert menyatakan beliau belum mendapat maklumat mengenai perkara tersebut.
"Saya belum mendengar tentang Miliano Jonathans. Jadi, saya perlu fokus pada keputusan perlawanan menentang Bahrain, dan itu adalah keutamaan utama saya ketika ini," kata Kluivert pada hujung minggu lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!