Kanak-kanak 8 tahun hampir maut terjatuh telaga

BACHOK - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun hampir maut selepas terjatuh ke dalam telaga sedalam enam meter di Kampung Seneng di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Shahrul Nizam Majuddin, terselamat selepas air di dalam telaga tersebut hanya berkedalaman 0.6 meter.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Pegawai Bomba Kanan II, Lokman Jusoh berkata, semasa mereka tiba di lokasi kejadian, kanak-kanak terbabit berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung dengan menggunakan tangga yang dimasukkan ke dalam perigi tersebut.
"Mengikut laporan yang kami terima, mangsa dikatakan cuba mengambil barang dan memijak di atas kepingan papan yang digunakan untuk menutup perigi tersebut.

"Papan itu telah reput sehingga menyebabkan kanak-kanak terbabit terjatuh ke dalamnya. Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana air hanya paras dadanya," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan kecemasan sekitar jam 11.50 pagi dan seramai lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

