Program APM@Gig bantu anggota jana pendapatan tambahan

Aminurrahim
Aminurrahim
A
A
A

KAJANG - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) giat memperkasakan pegawai dan anggotanya untuk menjana pendapatan melalui konsep ekonomi gig dan keusahawanan.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi Program APM@Gig, yang mampu meningkatkan pendapatan anggota sukarelawan.

Menurutnya, langkah proaktif ini bertujuan mengoptimumkan kemahiran anggota APM sebagai tenaga kerja dalam sektor ekonomi gig.

"Objektif program ini adalah menyediakan peluang dan sokongan kepada individu, pegawai, serta anggota sukarela yang ingin menceburi perniagaan. Ia juga mampu mempertingkatkan kerjaya dan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang, terutama melalui pendekatan yang lebih fleksibel," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Aminurrahim sebelum itu menghadiri Majlis Apresiasi Sukarelawan 3rd Force dan Pelancaran Program APM@Gig serta Kerjaya Peringkat Negeri Kelantan 2025 di Pasir Puteh, Kelantan.

Majlis tahunan yang dianjurkan oleh Yayasan Raja Shamri itu bertujuan memberi penghargaan kepada sukarelawan 3rd Force.

Aminurrahim menekankan bahawa peranan APM bersama sukarelawan yang dibina selama ini adalah sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan.

"Dalam dunia yang penuh cabaran, kesiapsiagaan, keberanian serta semangat sukarelawan – sama ada daripada Yayasan Raja Shamri, The 3rd Force atau mana-mana sukarelawan lain – adalah kerjasama yang sangat baik."

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama antara anggota APM dan rakyat Malaysia adalah tunjang utama kesejahteraan masyarakat serta kestabilan komuniti setempat.

"Inilah yang kita panggil sebagai 'resilience' atau daya tahan bencana, selari dengan isu global yang perlu diperkukuhkan dalam komuniti," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!