Kerajaan umum diskaun tol 50 peratus sempena Aidilfitri

MELAKA - Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun tol 50 peratus selama dua hari di lebuh raya terpilih sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri bagi meringankan beban rakyat dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian diskaun 50 peratus daripada kadar biasa tol ini akan dilaksanakan bermula pada jam 12.01 tengah malam 28 Mac 2025 (Jumaat) dan akan berakhir tengah malam 29 Mac 2025 (Sabtu).
Menurutnya, keputusan itu diambil selepas kabinet sebulat suara meneruskan bantuan tol bagi musim perayaan seperti sebelumnya.
Malah katanya, pemberian diskaun tol itu membabitkan implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan sebanyak RM19.69 juta sebagai bayaran pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat.
"Pemberian diskaun tol ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah diberikan oleh Kerajaan Madani bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023.
"Ini selaras dengan teras utama Kerajaan Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat," katanya ketika sidang akhbar selepas melakukan tinjauan kerja di sebuah syarikat konsesi penyelenggaraan jalan persekutuan di Taman Tasik Utama (TTU) Ayer Keroh, di sini, pada Rabu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, bagaimanapun diskaun ini tidak terpakai di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Katanya, pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan diskaun tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas semasa cuti panjang ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!