76,000 babi dilupus, Selangor tangani wabak ASF

SHAH ALAM - Sebanyak 76,000 babi di Selangor telah dilupuskan pada minggu lalu selepas 57 ladang babi di Kuala Langat dan Sepang disahkan positif penyakit Demam Babi Afrika (ASF).
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, pelupusan semua babi itu dilakukan seminggu lebih awal daripada jangkaan asal pada 31 Mac.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak 14,000 babi telah dilupuskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor, manakala selebihnya mati sendiri dalam tempoh dua hingga 10 hari.
"Kerja-kerja pemantauan dan pengambilan sampel telah dilakukan bagi mengenal pasti jangkitan penyakit pada 25 Februari lalu.
"Hasil siasatan mendapati 56 ladang berdaftar dan satu ladang haram disahkan positif penyakit tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan 57 ladang terjejas," katanya pada sidang akhbar di Tingkat 2, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Rabu.
Selain itu, beliau menyatakan sebanyak 9,405.7 kilogram (kg) karkas daging babi telah disita selepas dikesan cuba diseludup keluar dari kawasan yang telah diisytiharkan sebagai zon wabak.
Menurutnya, tujuh kertas siasatan telah dibuka dan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut terhadap pihak yang melanggar peraturan kawalan penyakit.
Beliau turut memaklumkan beberapa individu telah ditahan selepas cuba melarikan ternakan dari kawasan yang telah diisytiharkan sebagai zon wabak.
“Terdapat juga kes yang masih dalam siasatan kerana individu terbabit tidak mengaku atau belum dapat dikenal pasti daripada premis asal.
“Siasatan masih belum lengkap dan tiada pertuduhan dibuat setakat ini," ujar beliau.
Tegas beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 34 dan Seksyen 36 Akta Binatang 1953 berkaitan pemindahan ternakan tanpa kebenaran.
Beliau berkata, kerajaan negeri kini sedang menyediakan kertas dasar bagi menguruskan ladang-ladang babi di Selangor susulan kesan wabak terhadap penternak dan bekalan makanan.
"Kertas cadangan ini akan dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi menentukan langkah seterusnya dalam pengurusan ladang babi di negeri ini," tambah beliau.
Dalam perkembangan sama, Izham berkata, sebanyak 700 ekor lembu dan 1,000 kambing akan diagihkan ke seluruh negeri sempena perayaan Aidiladha pada Jun depan.
Beliau menyatakan, sebanyak RM6 juta telah diperuntukkan bagi sumbangan korban yang akan diedarkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Penyelaras DUN, dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui masjid, surau, atau komuniti setempat terpilih.
"Semua pemilihan 25 pembekal masing-masing lembu dan kambing telah dilakukan secara undian kerja pada 20 Mac lalu," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!