Empat penjenayah pecah rumah termasuk ‘Salleh Solo’ berjaya dicekup

Christopher (empat dari kiri) menunjukkan sebahagian barang yang berjaya dirampas dalam serbuan berasingan itu.
Christopher (empat dari kiri) menunjukkan sebahagian barang yang berjaya dirampas dalam serbuan berasingan itu.
A
A
A

MELAKA - Empat individu yang aktif melakukan pecah rumah secara solo, termasuk seorang yang cuba melakukan samun pada Februari dan Mac tahun ini, berjaya diberkas dalam tempoh kurang dua bulan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, keempat-empat suspek berusia antara 31 hingga 58 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Menurutnya, antara individu yang ditahan termasuk seorang pengawal keselamatan yang dikenali sebagai 'Salleh Solo', berusia 48 tahun, yang baru sahaja dibebaskan dari penjara pada Januari lalu.

"Suspek cuba mengaburi pihak polis dengan bekerja di Kuala Lumpur, tetapi akhirnya diberkas pada Ahad lalu selepas terlibat dalam kes pecah rumah di Bachang pada 15 Mac lalu," katanya dalam sidang akhbar di IPD Melaka Tengah, Melaka Baru, pada Selasa.

Tambah beliau, polis berjaya mengesan Salleh Solo berdasarkan kesan cap jari yang ditemui di lokasi kejadian.

"Soal siasat awal mendapati dia mengakui menggunakan hasil jenayah itu untuk perbelanjaan harian," katanya.

Sebahagian peralatan yang digunakan individu itu untuk melakukan jenayah tersebut.
Sebahagian peralatan yang digunakan individu itu untuk melakukan jenayah tersebut.

Selain itu, pihak polis turut menahan seorang penganggur berusia 31 tahun yang digelar 'Jebot Solo' kerana disyaki terlibat dalam cubaan merompak pada Khamis lalu.

"Penahanan kesemua mereka yang bergerak secara solo ini berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah, dengan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM76,000, serta satu cubaan samun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Christopher, modus operandi suspek adalah menggunakan motosikal dan bertindak secara bersendirian.

"Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah, malah seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis Methamphetamine," tambahnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457, 380, 411, 393, dan 384 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!