Media sebagai 'oksigen', hidupkan perjuangan agensi - IKMa

PETALING JAYA - Media berperanan sebagai 'oksigen' yang menghidupkan perjuangan agensi, kementerian dan kepimpinan politik di negara ini termasuk membantu Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dalam menyebarkan maklumat kepada rakyat.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Ali Mansor berkata, penyampaian atau penyebaran maklumat yang tepat penting untuk memberi kefahaman kepada semua pihak.
"Majlis yang penuh bermakna hari ini menyaksikan kehadiran rakan-rakan media serta jemputan dalam usaha mengukuhkan kerjasama selain menghargai sokongan pihak media kepada IKMa dan kementerian.
"Liputan tuan-tuan dan semua pihak yang terlibat adalah oksigen kepada kami di agensi, kementerian dan kepimpinan politik," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Institut Koperasi Malaysia (IKMa) bersama media di sini pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri R Ramanan; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, Noor Afifah Abdul Razak dan Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa, Onn Abu Bakar.

Sementara itu, Ramanan dalam ucapannya menyatakan komitmen KUSKOP untuk sentiasa bersikap terbuka dalam menjalin kerjasama lebih kukuh dengan media, termasuk menyediakan akses maklumat yang telus dan pantas supaya setiap agenda pembangunan negara dapat dikongsi dan difahami bersama.
"Saya berharap hubungan baik ini akan terus diperkukuhkan, bukan sahaja dalam menyampaikan berita tetapi dalam membina naratif yang positif untuk negara ke arah masyarakat yang lebih progresif, inklusif dan bersatu padu selaras dengan visi Malaysia Madani.
"Ini kerana media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan membentuk persepsi rakyat terhadap dasar kerajaan,"katanya.
Ujarnya, peranan media tidak dapat dinafikan sebagai salah satu tonggak utama dalam menyampaikan maklumat yang tepat, telus dan berimbang kepada masyarakat.
"Dalam era digital dan informasi tanpa sempadan hari ini, media memainkan peranan besar bukan sahaja dalam menyampaikan berita tetapi juga sebagai medium yang menjelaskan dasar kerajaan dengan lebih dekat dan berkesan," katanya.
Katanya, antara agenda utama pihaknya adalah memastikan setiap dasar Kerajaan Madani dapat dirasai oleh semua lapisan rakyat termasuklah para usahawan kecil dan sederhana, koperasi dan komuniti luar bandar.
"Tanpa sokongan media, usaha ini pastinya sukar untuk sampai ke akar umbi. Media bukan sahaja menyebarkan berita, tetapi menjadi penghubung yang membawa suara rakyat kepada kerajaan dan suara kerajaan kepada rakyat,"katanya.
Ujarnya, media berupaya menjadikan dasar-dasar kerajaan lebih difahami, lebih dekat di hati rakyat dan sekali gus membantu membina kepercayaan masyarakat terhadap usaha-usaha yang dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
