3.14 juta kenderaan dijangka masuk ke Pahang sempena Aidilfitri

KUANTAN - Kira-kira 3.14 juta kenderaan akan memasuki Pahang sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim berkata, berdasarkan data yang dikeluarkan, Lebuh Raya Karak dijangka menerima 2.24 juta kenderaan dari 27 Mac hingga 7 April ini.
"Di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), sebanyak 903,000 kenderaan dijangka menggunakan laluan ini, dengan kemuncak pada 6 April sebanyak 119,000 kenderaan meningkat 83 peratus.
"Peningkatan ini bukan disebabkan oleh rakyat Pahang yang pulang ke kampung, tetapi juga pengguna dari negeri lain yang melalui laluan di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Keselamatan an Ops Siaga Raya Aidilfitri 2025 di pekarangan sebuah pusat beli belah di sini pada Isnin.
Program berkenaan dihadiri pengarah Jabatan Bomba dan penyelamat (JBPM) negeri, Mohd Razam Taja Rahim.
Menyentuh mengenai pembaikan kawasan pakej 5C1 di daerah Bentong di di Lingkaran Tengah Utama (LTU), Ir Razali berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memulakan melibatkan 400 meter jalan dengan anggaran kos RM500,000.
Jelasnya, kerja-kerja ini telah dimulakan dan dijangka siap pada 26 Mac ini.
Beliau menambah, kerja penyelenggaraan jalan di seluruh negeri diteruskan oleh konsesi yang dilantik termasuk pemasangan lampu jalan berasaskan tenaga solar di kawasan yang tidak mempunyai bekalan elektrik.
“Kawasan yang gelap terutama di laluan utama akan dipasang lampu secara berperingkat mengikut peruntukan yang diluluskan.
"Bagi lokasi yang tiada bekalan elektrik, kita akan gunakan lampu jalan jenis solar,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ir Razali memberitahu, kerajaan Pahang turut mengambil langkah untuk mengatasi isu kekurangan kemudahan rehat dan rawat (R&R) di LPT.
"R&R sementara sedang dibina di empat lokasi dan dijangka siap sebelum Aidilfitri," jelasnya.
Mengulas mengenai kempen keselamatan dan ops siaga raya Ir. Razali berkata, kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pencegahan kebakaran, keselamatan jalan raya dan cara menangani kecemasan.
Katanya, pihak bomba Pahang juga memeriksa lima premis yang disahkan bebas risiko kebakaran serta dianugerahkan Plak MBK.
"Saya harap pengunjung manfaatkan program ini dan berkongsi ilmu keselamatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

