Mustahil ABIM terima dana USAID - Syahrir

PUTRAJAYA - Bekas Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Syahrir Azfar Saleh menjelaskan adalah mustahil badan bukan kerajaan (NGO) itu menerima dana dari Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID).
Menurutnya, meskipun banyak pihak yang ingin memberi dana dan menaja dari pelbagai sudut, kepimpinan ABIM akan menolak secara tegas jika ia menggadaikan prinsip.
"Segiur mana pun tawaran yang diberikan, jika ABIM nak kaya, bermewah-mewah, iya, maka ABIM pastinya telah kaya sekarang namun hakikatnya jauh sekali," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.
Pada Januari lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan membekukan sementara dana USAID sementara menunggu semakan dalaman, sekali gus memberi kesan kepada pelbagai inisiatif di seluruh dunia termasuk kira-kira 40 NGO di Malaysia.
USAID merupakan antara agensi bantuan terbesar di dunia, menggaji kira-kira 10,000 orang dengan dua pertiga daripadanya berkhidmat di luar AS.
Dana USAID sering ditonjolkan yang didakwa untuk membantu membangunkan demokrasi dan memperkukuh masyarakat sivil di seluruh dunia.
Mengulas mengenai dakwaan mengaitkan ABIM dan USAID, Syahrir berkata, ia jauh tersasar dari jangkauan.
"Iya benar, ABIM pernah menerima sekitar 350 kotak bantuan bekalan makanan asas untuk diagihkan kepada fakir miskin, asnaf dan mereka yang kehilangan pekerjaan semasa Covid-19 melanda dunia. Apakah ABIM terima duit USAID? Tidak," katanya.
Menurutnya, ABIM hanya menerima kotak makanan yang telah disiapkan oleh USAID dan Malaysia Reform Initiative (MARI) Program pada waktu itu tanpa penerimaan sebarang tunai, syarat tersurat mahupun tersirat.
"Ia adalah sumbangan ‘in-kind’ yang USAID dan MARI salurkan kepada ABIM untuk diagihkan kepada masyarakat awam yang terkesan dengan pandemik.
"ABIM juga menguruskan beribu-ribu kotak makanan yang disumbangkan oleh Syarikat Baladna dari Qatar serta pihak lain kerana menerima banyak permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada mereka terkesan," katanya.
Malah jelas beliau, kesemua kos menghantar bantuan kepada penerima, kos sukarelawan dan lain-lain ditanggung sepenuhnya oleh ABIM.
"Jangan digelapkan hati kalian, sesungguhnya kita sedang berpuasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

