Mahkamah Korea Selatan tolak pemecatan PM Han Duck-soo

Han Duck-soo
Han Duck-soo
A
A
A

SEOUL - Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan pada Isnin menolak pemecatan Perdana Menteri Han Duck-soo, sekali gus mengembalikannya ke jawatan sebagai pemangku presiden di tengah-tengah ketidaktentuan politik berikutan Presiden Yoon Suk Yeol yang digantung tugas dan pelaksanaan undang-undang tentera yang singkat.

Dalam keputusan yang dicapai menerusi undian 5-1, empat daripada lima hakim yang menolak pemecatan dan berpendapat bahawa walaupun terdapat pelanggaran Perlembagaan dan undang-undang dalam keputusan Han menangguhkan pelantikan hakim tambahan ke mahkamah, ia tidak mencapai tahap kesalahan yang boleh membawa kepada pemecatan.

Bagaimanapun, Hakim Chung Kye-sun, satu-satunya yang menyokong pemecatan, menegaskan bahawa pelanggaran itu adalah "serius" dan mencukupi untuk Han disingkirkan daripada jawatan.

Beliau turut menyatakan bahawa kegagalan Han mendapatkan cadangan calon bagi jawatan penasihat khas untuk menyiasat tuduhan pemberontakan terhadap Presiden Yoon Suk Yeol merupakan satu kesalahan besar.

Sementara itu, semua hakim kecuali dua bersetuju bahawa jumlah minimum bagi pemecatan Han adalah 151 daripada 300 ahli Parlimen, iaitu jumlah yang terpakai bagi seorang perdana menteri, bukan 200 seperti yang diperlukan bagi seorang presiden.

Dua hakim yang berbeza pendapat berpendirian jumlah minimum sokongan ahli Parlimen bagi pemecatan presiden sepatutnya digunakan, memandangkan Han sedang menjalankan tugas sebagai pemangku presiden. Justeru, mereka mengundi untuk menolak usul pemecatannya.

Mahkamah turut menolak tuduhan bahawa Han cuba mewujudkan sistem pemerintahan bersama dengan bekas ketua parti pemerintah, Han Dong-hoon serta enggan mengesahkan dua rang undang-undang penasihat khas yang menyasarkan siasatan terhadap Yoon dan isterinya, Kim Keon Hee.

Susulan keputusan itu, Han kembali ke pejabatnya dan menzahirkan penghargaan kepada Mahkamah Perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya berterima kasih kepada Mahkamah Perlembagaan atas keputusannya yang bijaksana.

"Saya akan memberi tumpuan kepada isu-isu mendesak terlebih dahulu," katanya kepada pemberita.

Keputusan ini menjadi perhatian ramai kerana ia dianggap sebagai petunjuk awal pandangan mahkamah terhadap tuduhan yang dikenakan ke atas Yoon dalam perbicaraan pemecatannya.

Mahkamah masih belum menetapkan tarikh keputusan bagi kes Yoon, namun banyak pihak menjangkakan pengumuman akan dibuat dalam tempoh beberapa hari akan datang.

- Bernama/Yonhap

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!