Jerman nyaris terlepas slot empat terbaik

JERMAN hampir tersingkir apabila melepaskan kelebihan tiga gol sebelum terikat 3-3 menentang Itali dalam aksi suku akhir kedua Liga Negara-Negara Eropah di Signal Iduna Park, Dortmund, pada Isnin.
Namun, kemenangan 2-1 di Milan sebelum ini membolehkan Jerman mara ke separuh akhir dengan agregat 5-4 untuk bertemu Portugal pada Jun depan.
Tuan rumah mempamerkan prestasi cemerlang pada separuh masa pertama dengan menjaringkan tiga gol serta mendominasi perlawanan menerusi tekanan tinggi dan corak permainan menyerang yang menyukarkan Itali untuk bertahan.
Pasukan kendalian Julian Nagelsmann itu melakukan 16 percubaan ke arah gol pasukan pelawat yang dikendalikan Luciano Spalletti.
Namun, selepas rehat, Jerman seolah-olah hilang rentak, memberi ruang kepada Itali untuk bangkit dan menyamakan kedudukan.
Mereka mengendurkan tekanan, membolehkan Itali menjaringkan tiga gol, sebelum akhirnya mempertahankan kelebihan agregat tipis.
Jerman memulakan perlawanan dengan agresif apabila Joshua Kimmich membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-30.
Jamal Musiala menambah gol kedua pada minit ke-36 hasil sepakan sudut pantas Kimmich yang mengejutkan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma.
Tim Kleindienst menambah gol ketiga pada penghujung separuh masa pertama menerusi tandukan jarak dekat, hasil bantuan Kimmich serta kesilapan pertahanan Itali.
Bagaimanapun, Itali bangkit menerusi dua jaringan Moise Kean pada minit ke-49 dan 69 sebelum penalti Giacomo Raspadori pada masa tambahan mengikat kedudukan.
"Separuh masa pertama sangat cemerlang, tetapi separuh masa kedua tidak begitu.
"Pengagihan pemain tidak tepat, dan kami tidak dapat menekan lawan.
"Separuh masa pertama sangat menyeronokkan. Jangkaan untuk separuh akhir sangat besar," kata Kleindienst.
INFO
LIGA NEGARA-NEGARA EROPAH
KEPUTUSAN
SUKU AKHIR KEDUA
Jerman 3-3 Itali
* Jerman menang agregat 5-4
Portugal 5-2 Denmark
* Portugal menang agregat 5-3
Sepanyol 3-3 Belanda
* Sepanyol - Belanda terikat agregat 5-5.
Sepanyol menang penentuan penalti 5-4
Perancis 2-0 Croatia
* Perancis - Croatia terikat agregat 2-2.
Perancis menang penentuan penalti 5-4
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
