Pearly-Thinaah sandaran buru keputusan positif di Piala Sudirman

Pearly (kiri) dan Thinaah diharapkan berada di tahap terbaik pada Piala Sudirman bulan depan. Foto Agensi.
Pearly (kiri) dan Thinaah diharapkan berada di tahap terbaik pada Piala Sudirman bulan depan. Foto Agensi.
A
A
A

BEREGU wanita, Pearly Tan-M Thinaah menjadi sandaran untuk membantu negara meraih keputusan positif pada Kejohanan Badminton Piala Sudirman di China bulan depan.

Jurulatih mereka, Rosman Razak melihat pasangan nombor lima dunia itu menjadi penentu untuk Malaysia melangkah jauh pada kejohanan tersebut.

Ia selepas satu mata yang diharapkan daripada perseorangan lelaki mungkin sukar diraih susulan status kecederaan buku lali Lee Zii Jia.

Prestasi Leong Jun Hao yang menghuni ranking ke-26 dan Justin Hoh ke-55 pula tidak konsisten.

Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama pilihan ketiga, Jepun, kuasa besar Eropah, Perancis dan Australia.

Kem badminton negara wajib menamatkan saingan di tempat kedua teratas untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Peluang Malaysia bergantung kepada beregu wanita. Jadi Pearly-Thinaah perlu memberikan yang terbaik.

“Secara teori, peluang menentang Jepun amat mencabar, namun Pearly-Thinaah berpeluang mendapatkan mata ke atas Perancis dan Australia untuk mara ke peringkat kalah mati.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga berharap Pearly berada pada tahap 100 peratus dan bersedia sepenuhnya,” ujar Rosman.

Atas kertas Jepun sukar untuk dikalahkan kerana mereka mempunyai skuad yang seimbang dengan pemain-pemain bertaraf tinggi.

Pearly-Thinaah akan berdepan juara Seluruh England 2025, Nami Matsuyama-Chiharu Shida yang mempunyai rekod 12-1 ke atas mereka.

Pemain nombor tiga dunia itu menewaskan Pearly-Thinaah yang cedera dalam aksi suku akhir di Birmingham baru-baru ini.

Perancis juga tidak kurang hebat apabila tiga wakil beraksi di separuh akhir Seluruh England.

Ia melibatkan perseorangan lelaki, Alex Lanier serta dua beregu lelaki, Christo Popov-Toma Junior Popov (nombor 19) dan Thom Gicquel-Delphine Delrue ketujuh dunia.

Pearly-Thinaah akan menentang pasangan nombor 55 dunia, Margot Lambert-Anne Tran yang memenangi Kejohanan Eropah tahun lepas.

Piala Sudirman dijadual berlangsung di Xiamen bermula 27 April hingga 4 Mei ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!