'Robot tak cekap buat kerja rumah tapi mampu jadi peneman hebat'

BEIJING– Seorang pempengaruh di China menyewa robot humanoid dengan harga 10,000 yuan (RM6,500) sehari untuk memasak, membersih dan menemaninya keluar mencetuskan perbincangan hangat dalam talian.
Zhang Genyuan, 25, graduan ekonomi dari Universiti New York, mula dikenali selepas menyertai rancangan realiti mencari pasangan hidup di tanah besar China pada 2022 dan kini mempunyai lebih 1.4 juta pengikut di media sosial.
Pada 13 Mac, Zhang memuat naik video dirinya menghabiskan sehari bersama robot humanoid G1, salah satu robot paling canggih di China, yang segera meraih lebih 40,000 tanda suka.
Robot berharga 99,000 yuan (RM64,500) itu dikeluarkan oleh Unitree Robotics, syarikat berpangkalan di Hangzhou, pada Mei tahun lalu dan mempunyai ketinggian 127cm serta berat 35kg dengan kebolehan seperti pergerakan tangkas dan aksi seni mempertahankan diri.
Dalam video tersebut, Zhang mengaktifkan G1 yang terbaring di lantai dan memerintahkannya untuk berdiri, sebelum robot itu memperkenalkan dirinya serta menyenaraikan kemahirannya termasuk memasak, membersih dan menemani Zhang membeli-belah.
Bagaimanapun, percubaannya untuk melakukan kerja rumah menjadi lucu apabila robot itu memecahkan telur, menumpahkan susu dan sering melanggar Zhang ketika menyapu dan mencuci lantai.
Zhang kemudian membawa G1 berjalan-jalan sambil berpegangan tangan, di mana robot itu menunjukkan keupayaan mengelak halangan serta berlari mengejarnya apabila dipanggil.
Pada penghujung hari, Zhang dan G1 menikmati minuman bersama di tepi sungai, sebelum robot itu memeluknya.
Seorang pengguna media sosial mengulas bahawa G1 mungkin tidak cekap dalam kerja rumah, tetapi ia pendengar dan teman yang hebat. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
