Perompak bersenjata pistol, larikan 7 dulang barang kemas RM2 juta diberkas

Hussein.
Hussein.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki tempatan diberkas selepas menyamun sebuah kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Kota Damansara, Petaling Jaya, pada Sabtu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek tersebut ditahan pada jam 10.15 malam di Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

"Bertindak atas risikan dan maklumat, sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Petaling Jaya telah berjaya memberkas suspek," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Hussein berkata, hsil daripada serbuan itu, polis berjaya menemui semula sejumlah barang kemas yang dilarikan.

"Suspek berusia 32 tahun dan barang kes dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melakukan rompakan menggunakan senjata api," katanya.

Hussein berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintenden Farokh Faisal Ahmad di talian 017-7762991.

Pada Sabtu, Pusat Kawalan Polis Daerah (DCC) IPD Petaling Jaya telah menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian samun bersenjata api di kedai emas terbabit pada jam 4.56 petang.

Difahamkan, lelaki berkenaan yang memakai topeng muka serta baju berhud mengacukan pistol ke arah pekerja premis terbabit.

Artikel Berkaitan:

Semasa kejadian terdapat seorang pelanggan dan tiga pekerja di dalam premis.

Suspek telah melarikan tujuh dulang barang kemas di dalam rak pameran kedai. Kerugian dianggarkan RM2 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!