Ayah Bang Aji utamakan keselamatan anak
SHAH ALAM - Dalam era digital yang semakin berkembang, kawalan terhadap kandungan media sosial menjadi cabaran besar, terutama apabila melibatkan kanak-kanak.
Bapa kepada pempengaruh cilik, Bang Aji, Mohd Redzuan Zainol, 40, berpendapat risiko ancaman dan bahaya bukan hanya terhad kepada dunia maya, tetapi boleh berlaku di mana-mana.
“Jika bercakap mengenai bahaya, ia wujud di mana-mana. Yang penting, kita tahu apa yang kita lakukan dan memastikan keselamatan anak-anak terjaga.
“Berkenaan kandungan Bang Aji, saya rasa ia tidak menjadi masalah kerana lebih kepada lakonan. Jika mahu dikatakan tidak sesuai, sebenarnya banyak kandungan di televisyen yang lebih tidak sesuai,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, masyarakat tidak sepatutnya menjadikan kanak-kanak sebagai bahan kandungan di media sosial masing-masing.
Jelasnya, perkara tersebut tidak digalakkan bukan sahaja melibatkan para guru tetapi juga ibu bapa dan seluruh masyarakat yang bertanggungjawab untuk tidak menyiarkan kanak-kanak sebagai bahan kandungan media sosial kerana membawa risiko kepada mereka.
Mengulas mengenai perkara itu, Mohd Redzuan mengakui bahawa sukar untuk mengawal perlakuan orang awam yang bersikap negatif terhadap kandungan yang dibuat bersama Bang Aji atau nama sebenarnya, Muhammad Aniq Mohd Redzuan, 4.
“Content ini macam-macam jenis... kita tak boleh nak bendung sikap orang awam yang negatif, apa yang akan jadi kalau masyarakat luar nak bertindak macam tu dan sebagainya, cuma saya boleh cakap, kita jaga kita.
“Apa yang saya boleh pastikan, daripada segi pakaian dia, kita kawal...akan tutup separuh bahagian atas dan saya rasa tak ada masalah yang itu. Melainkan kalau budak perempuan seeloknya jaga pemakaian dan tutup apa yang patut, jaga betul-betul.
“Content Bang Aji pun memang berniat untuk hiburkan orang sahaja, mereka pun suka...kalau tak suka saya tak akan siarkan,” ujarnya.
Mohd Redzuan menegaskan, keselamatan Bang Aji sentiasa menjadi keutamaan dengan memastikan anaknya berada di bawah pengawasan, mengawal kandungan yang dikongsikan dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika berada di tempat awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
