Bayi 24 bulan maut, ibu terlelap ketika memandu

MELAKA - Seorang bayi lelaki berusia 24 bulan meninggal dunia selepas kereta yang dipandu ibunya terlibat dalam kemalangan di Jalan Penghulu Jaabar di sini pada petang Sabtu.
Mangsa, Muhammad Alexander Zulkarnain Muhammad Nur Basir disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital akibat kecederaan parah di kepala.
Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 2.40 petang itu membabitkan dua kereta iaitu Perodua Axia yang dipandu ibu mangsa dan Perodua Myvi yang dipandu kakitangan sebuah universiti.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan berlaku selepas ibu mangsa, Nurul Nadiah Mustapha Kamal, 31, dipercayai mengalami microsleep.
Menurutnya, ketika kejadian kereta yang dinaiki wanita itu bersama empat anaknya berusia sembilan, tujuh, empat termasuk mangsa dalam perjalanan dari Bukit Katil menuju ke Duyong.
"Setiba di lokasi kereta mangsa dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta Perodua Myvi.
"Pertembungan itu menyebabkan kesemua pemandu dan penumpang mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, setakat ini punca Kemalangan kerana pemandu wanita itu mengalami microsleep ketika memandu dan siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

