JIM pantau bazar Ramadan, periksa 128 warga asing

SHAH ALAM – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menjalankan 608 pemeriksaan di bazar Ramadan seluruh negara menerusi Inspektorat Penguatkuasaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata setakat 14 Mac, seramai 128 warga asing pelbagai warganegara telah diperiksa sejak awal Ramadan.
Menurutnya, pemeriksaan ini bertujuan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat kepada masyarakat dengan kehadiran pegawai imigresen yang melakukan pemantauan di pelbagai lokasi.
"Inspektorat Penguatkuasaan Imigresen merupakan langkah strategik dalam memperkukuh sistem penguatkuasaan imigresen negara.
"Inisiatif ini bertujuan meningkatkan pemantauan, pemeriksaan serta pelaporan bagi memastikan pematuhan undang-undang oleh majikan dan pekerja asing," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sejak dilaksanakan pada 14 Februari, JIM telah mengadakan 752 pemeriksaan di premis perkilangan, pasar raya, perladangan, sektor pertanian serta perkhidmatan di seluruh negara.
Jelasnya, dalam tempoh tersebut, seramai 9,473 warga asing dari pelbagai negara telah diperiksa.
Tegas beliau, inspektorat ini bukan sahaja berperanan dalam aspek penguatkuasaan, malah bertindak sebagai platform untuk memberikan penerangan, bimbingan dan pendidikan kepada majikan serta pekerja asing mengenai kepentingan mematuhi undang-undang imigresen.
"Pendekatan ini diambil bagi mewujudkan suasana lebih selamat serta meningkatkan keyakinan warga tempatan terhadap kawalan imigresen.
"Langkah ini mencerminkan komitmen JIM dalam memperkukuhkan pengurusan dan pemantauan pekerja asing serta memastikan pematuhan undang-undang bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan negara," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!