Croatia jinakkan Perancis, Mbappe, Dembele gagal menyerlah

CROATIA membawa bekalan selesa menjelang timbal balik kedua Liga Negara-Negara Eropah apabila menjinakkan Perancis 2-0 di Stadium Poljud pada Jumaat.
Jaringan Ante Budimir (m-26) dan Ivan Perisic (m-46) itu membolehkan skuad bimbingan Zlatko Dalic memanfaatkan kelesuan penampilan semula bintang sensasi Les Bleus, Kylian Mbappe dan Ousmane Dembele yang gagal menyemarakkan jentera serangan pelawat.
Croatia sebelum itu turut terlepas peluang awal apabila sepakan penalti Andrej Kramaric diselamatkan penjaga gol Perancis, Mike Maignan.
Namun, pasukan naib juara 2023 itu mempamerkan aksi bertenaga dan layak meraih kemenangan dengan margin yang lebih besar.
Perancis mencipta beberapa peluang menguji penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic, beberapa kali.
Namun, mereka mempamerkan prestasi di bawah prestasi sebenar terutama dengan kemasukan Mbappe selepas terlepas empat perlawanan terakhir.
Perancis yang akan menjadi tuan rumah perlawanan timbal balik di Paris pada Isnin ini, biarpun menguasai hampir dua pertiga perlawanan, bergelut untuk menembusi benteng Croatia.
"Kami bermain kompak dan berdisiplin. Kami terlepas penalti, tetapi tidak berhenti, sebaliknya kekal kuat.
"Kami mempunyai banyak situasi yang baik. Kemenangan yang hebat, tetapi dalam tiga hari kami akan mempunyai perlawanan baharu," kata pengendali Croatia, Zlatko Dalic.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!