Tunku Mahkota Ismail suntik semangat pemain Harimau Malaya

PERSEDIAAN pasukan bola sepak negara menjelang aksi Kumpulan F Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 mendapat suntikan semangat dengan kehadiran Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Pusat Latihan Seri Gelam, Johor Baharu, Johor pada Khamis.
Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) juga selain menyaksikan latihan Harimau Malaya turut menemui pemain dan barisan kejurulatihan pasukan negara.
Malah, baginda juga kelihatan berbual mesra dengan pemain lincah Selangor FC, Faisal Halim yang kembali dipanggil pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski untuk memperkuatkan cabaran pasukan negara.
Sebagai rekod, Faisal sebelum ini berehat hampir setahun bagi menjalani sesi rawatan selepas menjadi mangsa simbahan asid dilakukan individu tidak dikenali sehingga badannya mengalami kecederaan teruk pada 5 Mei lalu.
"Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, berangkat ke sesi latihan keempat skuad kebangsaan kendalian Peter Cklamovski di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam di Johor malam tadi.
"Baginda turut bertemu pemain-pemain serta barisan kejurulatihan Harimau Malaya," tulis di laman Facebook Malaysia NT tersebut.
Anak buah Cklamovski sedang melakukan persiapan berdepan Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa.
INFO
Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2027
Kumpulan F
Vietnam
Malaysia
Laos
Nepal
* Nota: Juara kumpulan layak ke Pusingan Akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!