MAIDAM agih zakat lebih RM318 juta sepanjang 2024

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengagihkan zakat sebanyak RM318.6 juta kepada asnaf di negeri ini bagi tahun 2024, meningkat 23.65 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, hasil kutipan zakat itu mencatatkan peningkatan RM275.9 juta, dengan sumber utama daripada zakat pendapatan sebanyak RM146.1 juta (52.96 peratus), zakat perniagaan RM64.1 juta (23.24 peratus) dan zakat wang simpanan RM40 juta (14.52 peratus).
Menurutnya, asnaf miskin menerima jumlah agihan tertinggi sebanyak RM189.5 juta atau 59.49 peratus daripada keseluruhan peruntukan.
"Asnaf fisabilillah pula menerima RM51.1 juta (16.5 peratus), manakala asnaf fakir memperoleh bantuan berjumlah RM27.8 juta.
"MAIDAM turut menyalurkan RM91.95 juta menerusi Yayasan Pendidikan MAIDAM bagi pelbagai program pendidikan termasuk bantuan awal pengajian (RM13.4 juta) dan bantuan pendidikan asnaf (RM16 juta).
"Selain itu, dalam aspek kebajikan, sejumlah RM100 juta diperuntukkan untuk Bantuan Sara Hidup, RM8.4 juta untuk pembaikan dan pembelian rumah, serta RM15.8 juta bagi bantuan perubatan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Zakat Korport di sini petang Khamis.
Majlis penyerahan zakat itu menyaksikan 43 syarikat menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM5.56 juta kepada MAIDAM.
"MAIDAM amat menghargai kepercayaan dan komitmen para pembayar zakat yang membantu meningkatkan kesejahteraan asnaf di negeri ini.
"Kita juga merakam penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha meningkatkan kutipan dan agihan zakat, termasuk badan kerajaan, NGO, serta pihak media yang banyak membantu menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan zakat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!