Shiro kembali menerusi temasya komedi rakyat

SELEPAS lebih tujuh tahun membawa haluan masing-masing, kumpulan Shiro yang dianggotai Shahrol Azizie Azmi (Shahrol) dan Mohd Hanaffi Razak (Ajak) kembali bergabung menerusi program Temasya Komedi Rakyat yang bakal menjelajah ke beberapa lokasi bermula Mei ini.
Festival yang mengangkat tema kerakyatan, warisan, kesenian dan kebudayaan dengan menggabungkan pelbagai elemen termasuk persembahan komedi, pendidikan serta keusahawanan itu bertujuan meraikan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Shahrol berkata, acara itu akan menjadi penanda aras baharu bagi penggiat seni dengan konsep yang lebih mesra rakyat dan ringan.
"Bukan tidak pernah ada acara seni rakyat seperti ini yang diadakan di Malaysia, namun pengisian serta konsep diterapkan tidak seperti apa yang cuba kami sampaikan atau ekspresikan menerusi Temasya Komedi Rakyat.
"Akan ada lebih 100 vendor yang menjual pelbagai produk tempatan termasuk makanan dan minuman di setiap lokasi. Pengunjung boleh merasai sendiri kemeriahan yang kami berikan selain membantu peniaga tempatan yang kesemuanya saya jamin menyediakan produk serta juadah yang berbeza dan menarik,” katanya dalam kenyataan.
Acara kemuncak festival itu ialah "Showtime Temasya Komedi Rakyat” atau "Pesta Malam Muda-Mudi”, yang bakal menyaksikan kumpulan Shiro kembali bersama-sama ke pentas, selain melibatkan beberapa artis terkenal tanah air antaranya Nasir Bilal Khan, Danial Zaini, Fikry Ibrahim dan Zulin Aziz.
Festival berkenaan akan menjelajah ke empat lokasi iaitu Kuantan, Pahang; Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak; Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor dan Singapura, bermula Mei hingga Julai ini.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!