Tabung sumbangan bantu pemain Sang Kenari sambut Syawal

Tiga badan bukan kerajaan (NGO) dari Kedah mengambil inisiatif melancarkan Tabung Aidilfitri bagi meringankan beban pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Usaha tersebut dilakukan Rangkaian Anak Darulaman Se-Malaysia (RADA), Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman (SUARA), dan Persatuan Anak Darulaman Malaysia (ADAM) sebagai tanda solidariti.
Pengerusi RADA, Datuk Romli Ishak, berkata pihaknya terpanggil untuk membantu kerana isu tunggakan gaji lebih 10 bulan bukan sahaja memberi kesan kepada pemain, tetapi juga keluarga mereka yang turut terbeban.
"Kami melihat perkara ini sebagai satu isu serius kerana ia melibatkan periuk nasi dan kebajikan pemain.
"Memandangkan Syawal semakin hampir, kami mengambil inisiatif ini agar mereka dapat menyambut lebaran dengan lebih tenang," katanya pada sidang akhbar pada Khamis.
Menurut Romli, tabung yang dilancarkan sejak hari ini sehingga 25 Mac bertujuan memastikan kebajikan pemain terus terbela, khususnya dalam menyambut Syawal.
Sumbangan yang dikumpulkan akan disalurkan sepenuhnya kepada pemain tanpa sebarang potongan komisen.
Setakat ini, tabung berkenaan telah berjaya mengumpulkan lebih RM40,000, dengan sebahagian sumbangan turut hadir daripada beberapa pemimpin negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyumbangkan RM20,000, manakala Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menghulurkan RM10,000.
"Kami juga telah menghubungi beberapa anggota jemaah Menteri untuk turut serta membantu, dan beberapa individu lain turut menyatakan hasrat untuk menyumbang," ujarnya.
Turut hadir dalam majlis pelancaran tabung itu ialah Presiden ADAM, Datuk Faridzul Kassim, dan Pengerusi SUARA, Datuk Hadzir Md Zin.
Romli menyeru semua pihak termasuk penyokong setia Hijau Kuning, pihak korporat, NGO serta masyarakat umum agar bersama-sama menyumbang ke dalam tabung ini bagi meringankan beban pemain.
Sebarang sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun CIMB 8603566015 atas nama Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Aman dengan menyatakan ‘Tabung Sumbangan Aidilfitri Bola Kedah’ sebagai rujukan sumbangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!