YAPEIM peruntuk RM1.2 juta bantu 7,700 pelajar memerlukan

GOMBAK - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) memperuntukkan RM1.2 juta kepada 7,700 pelajar yang memerlukan di 20 lokasi seluruh negara menerusi Program Ramadan Madani YAPEIM.
Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarahnya, Ameer Ali Vali Mohamed berkata, program tersebut bertujuan menyantuni pelajar di bulan Ramadan dan membantu mereka melakukan persiapan menyambut Aidilfitri menerusi sumbangan tunai.
Menurutnya, penerima bantuan itu terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi, sekolah rendah dan sekolah menengah yang tergolong dalam kumpulan keluarga miskin tegar, keluarga miskin serta keluarga B40.

“Program Ramadan Madani YAPEIM ini dilaksanakan di 10 universiti, lima politeknik dan tiga institut pendidikan.
“Sebahagian daripada pelajar tersebut merupakan penerima manfaat program Didik Madani YAPEIM yang diadakan akhir tahun lepas.
“Bagi pihak YAPEIM, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua institusi yang sudi menjadi tuan rumah kepada program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Ramadan Madani YAPEIM di Dewan Wadi Budi Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia (UIAM) di sini pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar & Penglibatan Komuniti UIAM, Profesor Datuk Dr Mohamad Fauzan Noordin.
Dalam pada itu, Ameer Ali berkata, program yang sama juga turut diadakan serentak di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Politeknik Balik Pulau.
Katanya, YAPEIM turut menyalurkan RM183,000 di UIAM, UNIMAS, UTeM dan Politeknik Balik Pulau.
“YAPEIM menyalurkan sumbangan kepada mahasiswa UIAM dan UTeM,berjumlah RM45,000 yang membabitkan sumbangan YAPEIM Didik berjumlah RM30,000 dalam bentuk bantuan kewangan dan RM100 kepada setiap 300 pelajar selain tajaan majlis berbuka puasa sebanyak RM15,000.
“Kami turut menyalurkan sumbangan di UNIMAS berjumlah RM47,000 yang membabitkan sumbangan YAPEIM Didik berjumlah RM30,000 dalam bentuk bantuan kewangan kepada 300 pelajar dan tajaan majlis berbuka puasa sebanyak RM17,000.
“Di Politeknik Balik Pulau, YAPEIM menyalurkan sumbangan berjumlah RM46,000 yang membabitkan sumbangan YAPEIM Didik berjumlah RM30,000 dalam bentuk bantuan kewangan kepada 300 orang pelajar dan tajaan majlis berbuka puasa sebanyak RM16,000,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!