Guru lelaki ditahan pukul, tarik rambut murid Tahun 4

MELAKA - Seorang guru lelaki mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI) di daerah Alor Gajah ditahan selepas disyaki memukul seorang murid Tahun empat menggunakan buku serta menarik rambut mangsa, minggu lalu.
Ibu mangsa yang merupakan suri rumah berusia 34 tahun membuat laporan polis selepas anaknya tidak mahu ke sekolah pada 14 Mac lalu dan terpaksa dirujuk ke Bahagian Psikiatrik Hospital Melaka.
Sumber berkata, pengadu hanya mengetahui insiden yang menimpa anak perempuannya itu selepas mangsa memberitahu takut ke sekolah kerana guru terbabit telah memukul dan menarik rambut tepi telinga ketika di dalam bilik darjah.
"Mangsa telah dirujuk di Hospital Melaka untuk rawatan susulan memandangkan emosi mangsa yang semakin tidak dapat dikawal.
"Malah keputusan laporan Pegawai Perubatan adalah ‘Alleged physical abuse by known person," katanya.
Jelasnya, individu berusia 44 tahun itu telah ditahan ketika dipanggil untuk memberi keterangan di Pejabat Bahagian Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka lebih kurang jam 4 petang pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Permohonan reman terhadap lelaki itu dibuat pada Rabu bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

