'Pilot darat' maut terlanggar lori terbabas

BESUT – Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah lori 10 tan yang terbabas di Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu dekat, Kampung Renek, di sini, pagi Khamis.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi, mangsa, Muhammad Amiruldin Abdullah, 31, beralamat di Teluk Intan, Perak maut akibat tersepit dalam lori jenis Mitsubishi Fuso yang membawa muatan barangan sejuk beku.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, kemalangan berlaku apabila lori 10 tan jenis Dong Feng dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun bersama kelindan berusia 28 tahun hilang kawalan selepas cuba mengelak sebuah Toyota Avanza yang keluar simpang secara mengejut.
"Lori itu terbabas lalu melanggar tembok jambatan sebelum bahagian belakangnya memasuki laluan bertentangan.

"Pada masa sama, lori dipandu mangsa yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang lori 10 tan tersebut.
"Rempuhan kuat menyebabkan pemandu lori sejuk beku tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya di sini pada Khamis.
Azamuddin berkata, pasukan bomba mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa sebelum dihantar ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, katanya, pemandu dan kelindan lori 10 tan yang mengalami kecederaan di tangan dan kaki turut menerima rawatan di hospital sama.
"Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Shafiqqul Aliff Mohamad Sobri di talian 011-10929400.
"Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati terutama dalam keadaan hujan bagi mengelakkan kemalangan.
"Semua pengguna jalan diminta sentiasa memandu dengan berhemah ekoran peningkatan kenderaan menjelang musim perayaan.
"Sila patuhi peraturan jalan raya dan arahan-arahan penguat kuasa yang bertugas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!