Lawan arus, pemandu lori ditahan polis

KAJANG - Seorang pemandu lori warga tempatan ditahan polis akibat melawan arus pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video tular di Facebook yang memaparkan seorang pemandu lori jenis tipper memandu melawan arus di Jalan Persiaran Mahkota Residence, di sini.
“Tindakan pemandu lori itu menyebabkan laluan kenderaan dari Jalan Mahkota Residence 1 untuk masuk ke Jalan Persiaran Mahkota Residence terhalang.
“Bertindak atas rakaman tular tersebut, polis berjaya mengesan dan menahan pemandu lori terbabit pada jam 10 malam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, pemandu berusia 60 tahun itu ditahan kerana memandu secara berbahaya dan melulu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM5,000.
“Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang serta menghormati pengguna lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
