Penuntut IPTS samun, pukul kenalan aplikasi janji temu

Seorang lelaki mengalami detik cemas selepas perkenalan singkat menerusi aplikasi ‘dating’ dan temu janji pertama bertukar mimpi ngeri apabila dia disamun serta dipukul di sebuah rumah di Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Ahad lalu. Foto hiasan
Seorang lelaki mengalami detik cemas selepas perkenalan singkat menerusi aplikasi ‘dating’ dan temu janji pertama bertukar mimpi ngeri apabila dia disamun serta dipukul di sebuah rumah di Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Ahad lalu. Foto hiasan
A
A
A

SERDANG - Seorang lelaki mengalami detik cemas selepas perkenalan singkat menerusi aplikasi ‘dating’ dan temu janji pertama bertukar mimpi ngeri apabila dia disamun serta dipukul di sebuah rumah di Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, mangsa berusia 41 tahun bekerja sebagai pendandan rambut.

Katanya, mangsa telah berkenalan dengan suspek pada 12 Mac.

"Mangsa kemudian bersetuju dan berjumpa di rumah sewa suspek kira-kira jam 7.30 petang, pada Ahad.

"Semasa mangsa menggunakan tandas, terdapat lagi dua lelaki tidak dikenali berada di rumah terbabit sebelum mereka bertindak mengikat tangan dan kaki mangsa serta diarah mengikut arahan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, salah seorang suspek telah mengambil kayu dan memukul mangsa, manakala seorang lagi suspek mengambil telefon bimbit dan memindahkan wang berjumlah RM67,000 ke dalam akaun rakan suspek.

Tambahnya, suspek telah mengugut mangsa untuk tidak melaporkan kepada polis sebelum membebaskannya.

Tegas Anbalagan, bertindak atas maklumat, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang telah membuat tangkapan terhadap lima lelaki termasuk pemilik akaun pada Isnin.

"Suspek terdiri daripada penuntut institut pengajian tinggi swasta (IPTS) berusia lingkungan umur 18 hingga 22 tahun dan polis turut merampas barang kes," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, empat suspek masih direman sehingga Jumaat, manakala seorang lagi diberi jamin polis.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 36 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 292 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya lagi, siasatan lanjut mengesan tiga kejadian lain melibatkan mangsa berbeza yang menggunakan modus operandi sama.

"Modus operandi suspek ialah mencari mangsa lelaki yang meminati hubungan sejenis di media sosial sebelum bertemu janji untuk berjumpa di tempat ditentukan suspek sebelum mengikatnya dan membuat pemindahan wang," ujarnya.

Justeru, IPD Serdang menggesa kerjasama mangsa-mangsa terlibat tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nursabrina Ahmad Jafri di talian 03-80742222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!