Jumpa rangka gadis di ladang tebu

YOGYAKARTA – Satu rangka manusia yang dipercayai milik seorang gadis berusia sekitar 20-an ditemukan di kawasan ladang tebu di Kaligondang, wilayah Bantul, Indonesia, pada Isnin.
Difahamkan, lokasi penemuan rangka tersebut didiami oleh reptilia seperti tedung selar dan biawak.
Menurut seorang penduduk kampung, Subali, tidak ramai yang berani melalui kawasan itu kecuali pemancing kerana terdapat kolam memancing di sekitarnya.
"Pada waktu siang pun tiada sesiapa yang melalui kawasan ini, apatah lagi pada waktu malam.
"Penduduk di sini, jika menunggang motosikal, sanggup berpatah balik kerana ular dan biawak di sini bersaiz besar," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Subali turut memaklumkan bahawa lokasi penemuan rangka berkenaan terletak jauh dari kawasan penempatan penduduk, kira-kira 200 hingga 300 meter.
Dia juga tidak menolak kemungkinan bahawa mangsa telah mati dan menjadi makanan haiwan liar.
Sementara itu, seorang lagi saksi, Boniran, memberitahu bahawa terdapat beberapa pekerja yang datang untuk membersihkan daun kering di ladang tersebut.
Dia turut menceritakan bahawa ketika mencari rumput kering di sekitar lokasi, dia terdengar bunyi aneh memandangkan rumahnya hanya 200 meter dari tempat kejadian.
Ketika menghampiri kawasan tersebut, dia melihat beberapa lelaki berlalu pergi.
"Saya juga terhidu bau bangkai pada Jumaat minggu lalu. Tiba-tiba, saya menghentikan motosikal kerana seekor biawak melintas di hadapan saya. Saya sangka ia mungkin bangkai tikus, jadi saya pun berlalu pergi.
"Memang banyak ular dan biawak di kawasan itu. Saya sendiri pernah menangkap ular sebesar paha orang dewasa," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!