Jari, paha gadis 'rabak' digigit ular sawa ketika buang air

Jari gadis ini rabak digigit ular sawa di kediamannya di Pontian, Johor.
Jari gadis ini rabak digigit ular sawa di kediamannya di Pontian, Johor.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang gadis berdepan detik cemas apabila paha dan jarinya ‘rabak’ akibat digigit ular sawa ketika membuang air besar.

Menerusi perkongsian individu bernama Bella di X @lovinghansoll baru-baru ini, dia turut memuat naik gambar menunjukkan keadaan tangannya yang luka dan berdarah selepas bergelut dengan ular kira-kira satu meter (m) panjang.

Menurutnya, segalanya bermula apabila dia sedang melepaskan ‘hajat’ sambil bermain permainan dalam talian, tiba-tiba dirinya digigit reptilia terbabit di bahagian paha.

"Saya tengah buang air besar dalam tandas duduk. Rumah taman ya bukan rumah kampung. Lepas dah siap buang air, saya masih duduk sebab perut terasa sakit lagi.

"Tiba-tiba rasa macam ada sesuatu gigit paha saya, ia lebih tajam daripada pisau cukur dan ada banyak gigi. Ular ini gigit betul-betul kuat, macam benamkan gigi dalam kulit.

"Jadi, disebabkan nak selamatkan diri saya pegang mulutnya. Sudahlah gigi tajam sebab itu jari saya banyak luka. Mula-mula tak sedar ia seekor ular sawa yang besar sehinggalah haiwan itu berhenti menggigit saya. Ular itu datang dari dalam lubang tandas," katanya.

Difahamkan, insiden mengerikan tersebut berlaku di rumahnya di Pontian, Johor.

Bella turut memaklumkan, lantai bilik air penuh dengan darah disebabkan kejadian mencemaskan itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun jelasnya, dia tidak menangis sama sekali tetapi lebih kepada perasaan takut dan trauma yang menyelubungi diri.

"Saya ada menjerit tapi tak menangis. Ayah datang dan bawa saya keluar dari bilik air tetapi sempat tengok belakang dan ular itu memang sangat besar! Tak dapat tangkap kerana ia lari semula ke dalam lubang tandas.

"Jadi, saya terus ke hospital. Cuma cuci luka dan makan antibiotik memandangkan ular sawa tiada bisa," ujar gadis tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!