Pendidikan agama senjata ampuh perangi rasuah

pendidikan agama perlu diperkasakan di sekolah, institusi pengajian tinggi mahupun di peringkat masyarakat. (Gambar kecil: Muhammad Najib) Gambar hiasan
pendidikan agama perlu diperkasakan di sekolah, institusi pengajian tinggi mahupun di peringkat masyarakat. (Gambar kecil: Muhammad Najib) Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pendidikan agama mampu menjadi senjata utama dalam memerangi rasuah yang terus menghantui negara.

Pengerusi Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Kedah, Muhammad Najib Mohd Taib berkata, walaupun undang-undang dan hukuman berat dijatuhkan kepada pelaku, tetapi jenayah tersebut terus berlaku.

Beliau berpandangan, ini disebabkan individu itu mudah terpengaruh dengan nafsu dan tawaran duniawi tanpa asas agama yang kukuh.

"Islam sebagai agama yang sempurna telah menetapkan bahawa rasuah adalah haram dan dilaknat Allah SWT.

"Rasulullah SAW bersabda ALLAH melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang menjadi perantara antara keduanya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, setiap individu pasti akan takut untuk terlibat dalam amalan jika setiap individu benar-benar memahami ajaran Islam.

"Pendidikan agama bukan sekadar belajar solat dan puasa, tetapi juga membentuk akhlak yang mulia.

"Jika nilai-nilai Islam diperkukuhkan dalam diri sejak kecil, seseorang akan membesar dengan kefahaman bahawa harta diperoleh secara tidak halal akan membawa keburukan kepada diri sendiri dan juga kepada keluarga dan masyarakat," katanya.

Tambahnya, pendidikan agama perlu diperkasakan di sekolah, institusi pengajian tinggi mahupun di peringkat masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Antara lain, masjid dan surau perlu menjadi pusat ilmu yang bukan sahaja mengajar ibadah, tetapi juga menyampaikan kesedaran tentang bahaya rasuah,” ujar beliau.

Muhammad Najib menyatakan, Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Kedah sentiasa komited dalam usaha mendidik dan memberi kesedaran kepada belia mengenai pentingnya kejujuran serta amanah dalam kehidupan.

"Rasuah bukan sekadar isu undang-undang, tetapi isu akidah dan keimanan. Jika kita benar-benar beriman, rasuah pasti dapat dikuburkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!