Pengurus syarikat rugi RM766,788 ditipu kenalan Facebook

KUANTAN - Seorang pengurus sebuah syarikat sanggup meminjam wang dari bank dan ibunya selain menggunakan wang simpanan, gara-gara terpedaya dengan skim pelaburan emas yang ditawarkan kenalan Facebook.
Bagaimanapun lelaki berusia 34 tahun itu akhirnya berputih mata apabila mengalami kerugian RM766,788 selepas skim pelaburan yang ditawarkan wanita bernama 'Celeste Yee' itu sebenarnya tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa dipercayai berkenalan dengan wanita terbabit melalui Facebook pada 6 Februari lalu.
Menurutnya, suspek menawarkan mangsa untuk menyertai pelaburan emas melalui sebuah laman sesawang yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.
"Mangsa telah menyertai pelaburan itu dengan pelaburan awal RM5,000 dan menerima pulangan kira-kira RM5,700.
"Yakin dengan pulangan dijanjikan, mangsa telah menambah pelaburan melalui 37 transaksi bayaran dalam tempoh 12 Februari hingga 16 Mei lalu ke lima akaun bank berbeza," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Yahaya berkata, mangsa menyedari dan syak ditipu apabila gagal mengeluarkan modal serta keuntungan dengan jumlah keseluruhan RM766,788 seperti yang dijanjikan.
"Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di sebuah balai polis di Kuantan untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu katanya, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa.
"Semak kesahihan syarikat pelaburan terlibat melalui pihak berkuasa berkaitan sebelum menyertainya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

