Jual biskut raya serendah RM13

BESUT - Seorang peniaga di Kampung Renek mengambil inisiatif menjual biskut raya pada 'harga Rahmah' bagi memastikan semua golongan dapat merasai kemeriahan Aidilfitri tanpa terbeban dengan kos perbelanjaan yang tinggi.
Nur Solehah Fitri, 27, berkata, sebanyak 11 jenis biskut raya dijual pada harga lebih murah berbanding pasaran, iaitu serendah RM13 hingga RM16 sebalang, dengan setiap balang mengandungi antara 25 hingga 30 biji biskut.
Menurutnya, walaupun dijual pada harga rendah, biskut raya yang dihasilkan tetap menggunakan bahan berkualiti dan mendapat permintaan tinggi.
"Walaupun lebih murah, kualitinya setanding dengan biskut premium di pasaran kerana saya menggunakan bahan-bahan terbaik.
"Resipi biskut raya ini adalah turun-temurun daripada ibu saya, tetapi saya turut mengolah beberapa jenis mengikut cita rasa moden.

"Antara biskut yang mendapat sambutan ialah tat nenas, semperit susu, semperit klasik, tat coklat, florentine dan almond London," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Nur Solehah yang memasarkan biskut raya melalui media sosial di bawah nama Iman’s Kitchen Besut berkata, dalam tempoh dua minggu Ramadan ini, kira-kira 300 balang tempahan diterima dari seluruh Besut.
Namun, katanya, hanya menghasilkan biskut mengikut tempahan bagi mengelakkan pembaziran serta menjamin kesegaran dan kualiti produk yang dijual.
Mengenai kenaikan harga barang, Nur Solehah mengakui kos bahan mentah meningkat menyebabkan harga biskut raya naik sekitar RM1 hingga RM2 tahun ini.
"Tahun ini tidak dinafikan harga bahan mentah meningkat, dan kebanyakan peniaga biskut raya menghadapi kesukaran menentukan harga kerana modal yang semakin tinggi.
"Bagi saya, walaupun keuntungan tidak besar, saya tetap gembira dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan membeli biskut raya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!