Rasuah: Anggota JPJ nyaris beraya di penjara

Che Fadzlie Izwan dipenjara lapan tahun dan denda RM80,000 di Mahkmah Sesyen di sini, pada Selasa.
Che Fadzlie Izwan dipenjara lapan tahun dan denda RM80,000 di Mahkmah Sesyen di sini, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA – [DIKEMAS KINI] Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bernasib baik kerana tidak perlu menyambut Aidilfitri di sebalik tirai besi selepas mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara setahun dan denda RM80,000.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap Che Fadzlie Izwan Che Johari, 38, di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas kesalahan memberi suapan berjumlah RM4,250 kepada anggota JPJ lain sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang membawa lebih muatan.

Che Fadzlie Izwan (duduk,tengah) bersama peguamnya, (kanan) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.
Che Fadzlie Izwan (duduk,tengah) bersama peguamnya, (kanan) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.

Terdahulu, Elesabet berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir pembelaan dan tidak dapat mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga kelapan, tertuduh didakwa memberikan rasuah berjumlah RM4,250 kepada anggota JPJ lain sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan membawa lebih muatan, suatu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesemua kesalahan itu dilakukan dalam perjumpaan berasingan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Katil, di sini, antara 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2020.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman satu tahun penjara dan denda RM10,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar bagi setiap pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Elesabet turut memerintahkan kesemua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh jatuh hukum.

Sementara itu, peguam tertuduh, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, merayu penangguhan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan, namun bantahan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Asyraf Mohamad Tahir.

Mohamad Asyraf turut mencadangkan agar jumlah jaminan dinaikkan kepada RM25,000 berbanding RM15,000 sebelum ini sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara.

Mahkamah membenarkan permohonan penangguhan hukuman bagi memberi ruang kepada pihak pembelaan membuat rayuan dengan syarat Notis Rayuan perlu difailkan pada hari ini. Jumlah jaminan dinaikkan kepada RM22,000.00.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!