Melaka tuan rumah Aidilfitri Madani 2025

MELAKA - Melaka akan menjadi tumpuan pada hari raya ini apabila dipilih sebagai tuan rumah Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 peringkat kebangsaan yang dijangka diadakan pada 5 April depan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata, majlis yang akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama menteri-menteri kabinet akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.
Menurutnya, rakyat berbilang kaum akan hadir pada majlis sambutan itu dengan menyasarkan kehadiran seramai 50,000 pengunjung bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri pada tahun ini.
"Kita berbangga kerana Melaka dipilih menjadi tuan rumah Hari Raya Madani 2025 peringkat kebangsaan.
"Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bagi memastikan majlis itu menjadi satu kenangan yang indah buat semua yang hadir," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan walkabout ke Glam Bazar Klebang di sini, pada malam Ahad.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran dan Perubahan Iklim, Datuk Rais Yasin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong.
Beliau yang juga ADUN Tanjung Bidara berkata, Bazar Aidilifitri di Klebang itu menjadi bazar keempat terbaik di negara ini manakala Bazar Ikonik Banda Hilir ditangga ketujuh terbaik pada tahun ini.
Menurutnya, Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memilih dua daripada bazar di negeri ini berada di kedudukan 10 terbaik.
"Satu perancangan yang baik akan membawa pulangan yang lebih besar, bukan sahaja kepada penganjur, tetapi juga peniaga dan orang ramai," katanya.
Pada lawatan itu, Ab Rauf turut menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah kereta dan motosikal bagi pengunjung yang berbelanja di bazar tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

