Pelajar kita jadi imam tarawih di luar negara

Muhammad Hanif Zakaria, 24, pelajar tahun tiga Sarjana Muda Pengajian Qiraat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), mencipta sejarah kerana menjadi pelajar Malaysia pertama sebagai imam jemputan di Masjid At-Tawheed di Papatoetoe, kira-kira 20 kilometer dari bandar raya Auckland, dari 2 hingga 26 Mac ini. Foto Bernama
Muhammad Hanif Zakaria, 24, pelajar tahun tiga Sarjana Muda Pengajian Qiraat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), mencipta sejarah kerana menjadi pelajar Malaysia pertama sebagai imam jemputan di Masjid At-Tawheed di Papatoetoe, kira-kira 20 kilometer dari bandar raya Auckland, dari 2 hingga 26 Mac ini. Foto Bernama
A
A
A

APABILA tiba bulan Ramadan, ramai dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia mendapat peluang untuk menjadi imam di luar negara.

Fenomena ini semakin berkembang, dengan pelajar dari universiti seperti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dihantar ke beberapa negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand, Eropah dan Timur Tengah.

Perkembangan ini bukan sahaja menunjukkan keupayaan tinggi pelajar dalam bidang al-Quran dan fiqh, tetapi juga mencerminkan pengiktirafan global terhadap kebolehan mereka.

Terbaharu, beberapa pelajar Malaysia menjadi pilihan negara luar bagi menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai imam tarawih.

Muhammad Hanif Zakaria, pelajar Tahun Tiga Sarjana Muda Pengajian Qiraat, USIM, dilantik sebagai imam tarawih di Masjid At-Tawheed, Papatoetoe, Auckland, New Zealand sepanjang Ramadan 2025.

Dalam masa sama, beliau ditugaskan menjadi imam bagi solat lima waktu serta mengajar al-Quran kepada kanak-kanak komuniti Islam di kawasan tersebut.

Menurut Muhammad Hanif, terpilih menjadi imam di New Zealand adalah satu kejutan besar buat dirinya.

Katanya, ini adalah peluang keemasan yang hanya datang sekali seumur hidup.

Artikel Berkaitan:

Beliau mahu menjadi perintis dan berharap lebih ramai pelajar USIM dapat berkhidmat serta berkongsi pengalaman mereka dengan masyarakat di sana.

Selain itu, empat pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) iaitu Muhammad Badrul Amin Derome, Muhammad Fathmi Izwan Rusli, Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli dan Ahmad Najmuddin Marwan turut menjadi imam tarawih di United Kingdom, Australia dan Singapura.

Mereka merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Tahfiz al-Quran dan Qira’at dengan Pendidikan, dan kejayaan ini secara tidak langsung telah membanggakan universiti serta Malaysia.

Sejujurnya, pengiktirafan yang diberikan negara luar kepada pelajar Malaysia begitu mengagumkan.

Inilah masanya untuk mereka menonjolkan bakat, kebolehan serta keistimewaan yang ada sebagai imam di negara orang.

Selain menyampaikan ilmu Islam kepada komuniti Muslim di sana, mereka juga dapat melatih kepimpinan dan komunikasi dengan jemaah.

Selain itu, pengalaman ini memberikan kelebihan kepada mereka selepas tamat pengajian dalam aspek pembangunan diri dan sumbangan kepada masyarakat Islam.

Dari sisi universiti pula, banyak impak positif dapat dilihat menerusi pemilihan pelajar mereka sebagai imam tarawih.

Ia dapat meningkatkan reputasi universiti di peringkat global, diiktiraf sebagai pusat pendidikan Islam berkualiti serta memperluaskan jaringan hubungan dengan pusat Islam di luar negara.

Dalam menyaksikan pelbagai kebaikan menerusi penghantaran pelajar ke luar negara, harus diingatkan bahawa cabaran di sana bukan perkara biasa.

Pelajar perlu menyesuaikan diri dengan budaya berbeza dan keadaan cuaca yang mungkin ekstrem.

Selain itu, tanggungjawab mengimamkan solat tarawih dan memberikan tazkirah boleh menjadi tekanan bagi pelajar yang kurang pengalaman.

Pengurusan masa yang tidak teratur juga boleh menjadi cabaran besar sekiranya pelajar menggalas banyak tugas seperti menjadi imam tarawih, mengajar agama, memimpin solat serta menyiapkan tugasan akademik.

Namun, cabaran adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan selagi kita masih hidup.

Ia sentiasa ada, dan yang membezakannya adalah bagaimana seseorang itu menghadapi cabaran tersebut dengan sabar, bijak dan semangat untuk terus maju.

* Roshlawaty Raieh ialah wartawan Sinar Bestari

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!