Beri tiket bas, KTM percuma pada musim perayaan - Wei Kiat

SHAH ALAM - Kerajaan disaran menggunakan penjimatan penghapusan tol percuma dengan memperkenalkan tiket percuma bagi pengguna bas ekspres dan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) untuk perjalanan pulang ke kampung semasa musim perayaan.
Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Wei Kiat berkata, inisiatif berkenaan mampu memberikan manfaat berganda kepada rakyat, terutama golongan M40 dan B40 dengan membantu mengurangkan beban kewangan mereka ketika menyambut perayaan.
Menurutnya, ia sekali gus menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam sebagai pilihan utama.
"Dengan lebih ramai rakyat beralih kepada pengangkutan awam, kesesakan jalan raya serta kadar kemalangan yang sering meningkat ketika musim perayaan juga dapat dikurangkan.
"Pada masa yang sama, Kerajaan perlu memastikan sistem pengangkutan awam menjadi lebih cekap, selesa dan mampu milik.
"Ini boleh dicapai melalui peningkatan kekerapan perjalanan, penambahan laluan baharu yang menghubungkan lebih banyak kawasan luar bandar ke bandar, serta memperluaskan skim subsidi tambang bersasar kepada golongan yang lebih memerlukan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kerajaan memutuskan untuk menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini dan ia sudah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet, tahun lalu.
Bagaimanapun kerajaan akan menggantikan pemberhentian tol percuma itu dengan pendekatan yang lebih bersasar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemberian tol percuma sempena musim perayaan tidak menyelesaikan masalah kesesakan di lebuh raya.
Katanya, Jemaah Menteri membuat keputusan tersebut memandangkan kerajaan juga terpaksa menanggung pampasan lebih RM35 juta sehari kepada syarikat konsesi tol.
Wei Kiat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang menyifatkan, keputusan menghentikan tol percuma sebagai satu langkah ke hadapan dalam dasar pengangkutan negara dalam memastikan wang rakyat digunakan untuk manfaat jangka panjang.
"Untuk rekod, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM200 juta pada tahun 2023 dan RM150 juta pada tahun 2024 untuk tol percuma. Jumlah ini merupakan angka yang besar dan sepatutnya digunakan untuk manfaat jangka panjang.
"Saya percaya bahawa dengan perancangan yang teliti dan dasar yang berpandangan jauh, sistem pengangkutan awam negara dapat dipertingkatkan menjadi lebih moden, cekap dan mesra rakyat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!