Beri subsidi kepada pengguna balik kampung lebih 400km

Laporan Sinar Harian berhubung langkah kerajaan yang tidak akan meneruskan dasar pemberian tol percuma untuk semua perayaan utama bermula tahun ini.
Laporan Sinar Harian berhubung langkah kerajaan yang tidak akan meneruskan dasar pemberian tol percuma untuk semua perayaan utama bermula tahun ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mempertimbangkan beberapa inisiatif termasuk pemberian subsidi kepada pengguna lebuh raya terutama mereka yang berdepan kekangan kewangan menjelang cuti perayaan Tahun Baharu Cina, minggu depan.

Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, mekanisme tersebut boleh dilaksanakan dengan keutamaan diberikan kepada pengguna yang melakukan perjalanan melebihi 400 kilometer (km).

“Secara tidak langsung rakyat mendapat manfaat dan bantuan ini mampu meningkatkan kesejahteraan hidup mereka walaupun penghapusan dasar tol percuma dibuat.

“Subsidi juga boleh diberi kepada pengguna yang menggunakan tol beraliran trafik rendah supaya jalan raya terbabit dapat mengimbangi kesesakan di jalan raya utama,” katanya kepada Sinar Harian.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini memaklumkan, dasar pemberian tol percuma untuk semua perayaan utama tidak akan diteruskan bermula tahun ini termasuk bagi sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Dalam pada itu Mohd Faisol turut berpendapat kerajaan juga boleh melaksanakan pemberian rebat dan diskaun kepada orang ramai yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan bas dengan menurunkan kadar tiket bas.

Secara tidak langsung ujarnya, aliran trafik dapat dikurangkan selain membantu industri pengangkutan awam khususnya bas meningkatkan bilangan penumpang.

“Penghapusan tol percuma juga boleh dilakukan secara berfasa untuk melihat respons pengguna jalan raya serta aliran trafik semasa.

Artikel Berkaitan:

“Perlu juga dipertimbangkan untuk menghapuskan beberapa tol yang akan tamat kontrak dengan syarikat konsesi tanpa melakukan pengubahsuaian bagi mengelak penyambungan kontrak dengan syarikat lain,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!