Firasat Courtois tepat

PENJAGA gol Real Madrid, Thibaut Courtois mendakwa bahawa dia sudah merasakan Julian Alvarez menyentuh bola sebanyak dua kali sebelum jaringan penalti pemain Atletico Madrid itu dibatalkan pengadil.
Dalam pertembungan timbal balik pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara (UCL) di Stadium Metropolitano itu, jaringan Alvarez semasa penentuan penalti dibatalkan kerana terdapat sentuhan berganda.
Ulang tayang video bantuan pengadil (VAR) menunjukkan Alvarez tergelincir dan kaki kirinya terkena bola sebelum merembat masuk dengan kaki kanan.
Insiden tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati pengendali Atletico, Diego Simeone kerana jaringan Alvarez dalam penentuan penalti itu boleh menjadikan kedudukan 2-2.
Real akhirnya memenangi penentuan penalti 4-2 selepas rembatan Marcos Llorente terkena palang dan Antonio Rudiger menyempurnakan sepakan terakhir LOs Balncos untuk menempah slot suku akhir menentang Arsenal.
“Saya merasakan Alvarez menyentuh bola dua kali dan saya memberitahu pengadil.
“Bukan mudah untuk melihatnya dan ia adalah nasib malang bagi mereka,” kata Courtois kepada saluran televisyen Sepanyol, Movistar Plus.
Sementara itu, Simeone gagal menyembunyikan kemarahannya ketika ditanya pemberita selepas jaringan Alvarez dibatalkan.
“Saya tidak pernah melihat VAR digunakan untuk menyemak penalti dalam penentuan sepakan penalti
“Anda nampak dia menyentuh bola dua kali? Tolonglah, sesiapa yang berada di stadium dan nampak dia menyentuh bola dua kali, sila tampil ke hadapan dan angkat tangan,” kata Simeone.
Berdasarkan peraturan Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB) Perkara 14.1, penyepak tidak boleh memainkan bola sekali lagi sehingga bola menyentuh pemain lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

