Insiden bunyi dentuman di Stesen Abdullah Hukum, Rapid Rail perjelas punca

Tular video memaparkan situasi tegang di dalam koc LRT selepas bunyi dentuman terbabit kedengaran.
Tular video memaparkan situasi tegang di dalam koc LRT selepas bunyi dentuman terbabit kedengaran.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Insiden bunyi dentuman kuat di Stesen Abdullah Hukum pada malam Rabu disahkan berpunca daripada kerosakan komponen pemasangan pengumpul kuasa pada sebuah tren.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dalam kenyataan hari ini, berkata berlaku gangguan teknikal pada tren bernombor 84 dalam kejadian pukul 10.43 malam itu.

Tren terbabit kini dihantar ke depoh penyelenggaraan untuk siasatan lanjut.

Tambah Rapid Rail, bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, pihak jurutera Rapid Rail akan mempertingkatkan pemeriksaan pada semua tren yang beroperasi di Laluan Kelana Jaya.

"Ini bagi memastikan kebolehpercayaan perkhidmatan tren sentiasa berada di tahap yang optimum dan selamat.

"Selain itu, pemantauan yang lebih kerap turut dijalankan oleh pegawai transit terutamanya di dalam tren ketika waktu puncak.

"Rapid Rail memohon maaf di atas kesulitan dialami penumpang semasa insiden dan akan terus melakukan penambahbaikan," ujarnya pada Khamis.

Terdahulu, tular video memaparkan situasi tegang di dalam koc LRT selepas bunyi dentuman terbabit kedengaran.

Artikel Berkaitan:

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan melibatkan penumpang dilaporkan.

Semua penumpang terjejas diturunkan di Stesen Abdullah Hukum dan perkhidmatan tren alternatif diaktifkan bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi. - Awani.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!