Yayasan Bank Rakyat santuni anak-anak OKU, hulur bantuan persekolahan
PASIR PUTEH – Yayasan Bank Rakyat (YBR) terus menunjukkan komitmen dalam membantu anak-anak orang kurang upaya (OKU) dengan menyampaikan bantuan persekolahan melalui kerjasama dengan Persatuan Insan Istimewa Kelantan (INSANI).
Ketua Pegawai Eksekutif YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, sebanyak RM6,300 diperuntukkan kepada 63 murid yang memerlukan, dengan setiap murid menerima bantuan sebanyak RM100.
Menurutnya, Inisiatif itu bertujuan meringankan beban keluarga dan memastikan murid-murid OKU dapat memulakan sesi persekolahan dengan lebih bersemangat.
"Walaupun jumlah bantuan ini mungkin kecil, kami berharap ia membawa kegembiraan kepada murid-murid ini sebagai tanda kasih sayang dan ingatan YBR kepada mereka yang kurang bernasib baik," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Turut hadir dalam sesi penyampaian ialah Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Selain bantuan persekolahan, YBR turut menyumbang RM5,000 kepada INSANI bagi menyokong aktiviti persatuan serta merangka pelan pembangunan jangka panjang untuk membantu golongan OKU.
"Sumbangan ini diharap dapat digunakan untuk memenuhi keperluan sara hidup, pembelian peralatan perubatan, serta menyediakan dorongan pendidikan yang berterusan kepada anak-anak OKU," tambahnya.
Pada tahun 2024, YBR telah memperuntukkan kira-kira RM626,586 bagi membantu golongan kurang bernasib baik melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat, serta bantuan penjagaan kesihatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

